Monday 17 November 2014

Isu Perceraian: Punca dan Kesan Negatif Terhadap Pembentukan Insaniah Anak-Anak




Isu Perceraian: Punca dan Kesan Negatif Terhadap Pembentukan Insaniah Anak-Anak

Nurul ‘Aqidah Binti Moklis
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia
11800, Pulau Pinang

Artikel ini ditulis bertujuan untuk memenuhi tugasan penulisan blog bagi kursus SZW 502 (Pembangunan Insaniah Untuk Pengurus Aset). Artikel ini merangkumi lima bahagian. Pertama, pendahuluan mengenai isu; kedua, punca perceraian dan huraiannya; ketiga, kesan psikologikal. Terdapat dua kesan psikologikal iaitu terhadap pasangan yang bercerai dan terhadap anak-anak. Keempat, kesan negatif perceraian terhadap pembentukan insaniah anak-anak dan kelima, kesimpulan iaitu rumusan kepada keseluruhan perbincangan.

Pendahuluan
Sejak kebelakangan ini, isu perceraian di Malaysia semakin kerap berlaku. Hal ini berlaku dalam kalangan selebriti Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Antara selebriti Malaysia yang bercerai seperti pasangan Rita Rudaini dengan Aidil Zafuan (Kosmo Online, 2012)[1], pasangan Chef Riz atau nama sebenar Mohd. Nadzri Redzuawan dengan pelakon Ana Dahlia (Yusman Awang, 2012)[2], pasangan Erra Fazira dengan Engku Imran (Mohd Al Qayum Azizi, 2014)[3] dan seorang produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman dengan Mohd Eddie Ghazali (Fride Hikmet Atak, 2014)[4]. Sesetengah selebriti, perceraian tersebut merupakan perceraian kali kedua baginya. Oleh kerana skop pekerjaan seorang selebriti tempatan ini melibatkan masyarakat sebagai penonton, penyokong atau peminat, maka golongan ini begitu dikenali oleh kebanyakan orang. Oleh yang demikian, isu perceraian yang berlaku dalam kalangan mereka juga tersebar dengan meluas seluruh Malaysia melalui media elektronik dan media cetak seperti televisyen, majalah dan surat khabar. Seterusnya, berita perceraian tersebut menjadi bualan masyarakat. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa isu perceraian di Malaysia semakin membimbangkan. 

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)[5], jumlah kes perceraian pasangan Islam didaftar di Mahkamah Syariah seluruh negara dari tahun 2003 hingga 31 Disember 2013 adalah sebanyak 581,505 kes. Kes penceraian pada tahun 2012 adalah sebanyak 47,779 kes manakala pada tahun 2011 pula sebanyak 43,137 kes. Jenis perceraian tersebut meliputi tuntutan fasakh[6] (pembubaran perkahwinan), pengesahan lafaz cerai, cerai taklik[7] (perceraian kerana melanggar perjanjian), cerai khulu[8] (tebus talak) dan pengesahan cerai di luar mahkamah. Menurut Dr Asyraf Wajdi Dasuki, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan secara purata perceraian adalah antara 2,000 hingga 2,500 kes setiap bulan (Wan Kemat, 2014)[9]. Tambahan lagi, menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut[10] bahawa kebanyakan kes perceraian berlaku kepada pasangan muda yang berusia 35 tahun dan ke bawah. Selain itu, negeri yang mencatat permohonan pendaftaran perceraian tertinggi adalah Selangor, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan. Negeri yang mencatatkan kes perceraian paling rendah pula adalah Perlis, Melaka dan Sarawak.

Punca perceraian
Menurut Tan Sri Dr Ibrahim Lembut[11], terdapat tujuh perkara yang menjadi punca utama berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan beragama Islam. Antaranya ialah kekurangan ilmu agama, faktor seksual, kewujudan pihak ketiga, pasangan tidak bertanggungjawab, masalah kesihatan, tidak berakhlak dan masalah ekonomi.

1. Kekurangan ilmu agama.
Pasangan yang kurang ilmu agama menunjukkan bahawa pasangan tersebut kekurangan pengetahuan mengenai perkahwinan termasuk tanggungjawab dan peranan suami isteri yang dituntut syarak. Agama merupakan tunggak dalam sesebuah institusi. Tanpa pegangan agama, sebuah istitusi itu akan lemah dan goyah terutamanya apabila menghadapi cabaran dan dugaan dalam perkahwinan. Akibatnya, pasangan yang kurang ilmu agama akan mudah berputus asa dalam menghadapi dugaan. Seterusnya, bertindak dengan mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah melalui perceraian.

2. Faktor seksual.
 Antara contoh faktor seksual ini seperti pasangan bersikap dingin, tiada kepelbagaian dalam seks dan tiada kepuasan seks (Hayati Ibrahim, Nazdy Harun dan Juniadi Ladjana, 2014). Faktor keperluan seks tidak dapat dipenuhi ini menyebabkan salah seorang daripada pasangan merasakan bahawa kebahagiaan tidak lagi dikecapi. Hal ini juga menjadi alasan untuk pasangan tersebut mencari kekasih lain yang dapat memenuhi keinginannya. Seterusnya, hal ini menimbulkan perbalahan dan akhirnya menyebabkan perceraian. 

3. Kewujudan pihak ketiga.
Setiap perkahwinan pasti akan melalui pelbagai dugaan dan mungkin menyebabkan pertengkaran sesama pasangan. Lazimnya pasangan suami isteri akan menghadapi beberapa konflik seperti percanggahan pendapat, cemburu buta atau perbalahan yang disebabkan hal yang remeh. Walaupun begitu, perbalahan ini menjadi serius apabila melibatkan kewujudan pihak ketiga. Menurut Tan Sri Ibrahim Lembut (2014)[12], pihak ketiga bukan hanya merujuk kepada orang luar atau kekasih, tetapi juga ahli keluarga, saudara mara dan sahabat. Tambahan lagi, kajian daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendapati bahawa peratusan tertinggi perceraian kerana wujudnya pihak ketiga adalah disebabkan campur tangan keluarga, diikuti pasangan yang bermain “kayu tiga” dan campur tangan saudara mara. Kebiasaannya, apabila perbalahan melibatkan ahli keluarga pasangan akan lebih cenderung mempertahankan ahli keluarganya. Seterusnya, mengakibatkan perbalahan berpanjangan dalam tempoh yang sehingga menjadi punca berlakunya perceraian. Walau bagaimanapun, kewujudan orang ketiga perlu dihadapi dengan berhikmah untuk mengelakkan berlakunya perceraian.

4. Pasangan yang tidak bertanggungjawab.
Peranan suami dan isteri adalah penting dalam kehidupan berumahtangga. Sememangnya, setiap pasangan mempunyai kelemahan masing-masing, namun begitu kelemahan tersebut boleh dihadapi dengan adanya tolak ansur dan saling memahami. Setiap pasangan berperanan menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya perkahwinan sentiasa harmoni dan bahagia. Walaupun begitu, terdapat juga sesetengah pasangan yang tidak bertanggungjawab seperti tidak bekerja, tidak prihatin dalam menguruskan anak-anak atau tiada tolak ansur dalam urusan kerja rumah. Lazimnya perkara tersebut merujuk kepada sikap pihak suami sebagai ketua keluarga. Tidak dinafikan bahawa urusan memberi nafkah keluarga adalah tanggungjawab suami, manakala urusan kerja rumah dan anak-anak adalah tanggungjawab isteri. Namun begitu, setiap pasangan perlu bertolak ansur dan saling membantu dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing demi kebaikan perkahwinan dan keluarganya. Oleh yang demikian, pengabaian tanggungjawab ini menjadi punca perceraian berlaku.

5. Masalah kesihatan.
 Menurut Marzulina Omar (2003), antara masalah kesihatan yang membawa kepada perceraian adalah penyakit yang menghalang daripada berlakunya hubungan intim dengan pasangan. Sebagai contoh, lumpuh, sakit tua, ketahanan badan yang lemah menyebabkan sering mendapat sakit, menghidap penyakit AIDS atau HIV. Sekiranya salah seorang daripada pasangan suami isteri menghadapi masalah kesihatan tersebut, maka hubungan intim suami isteri tidak dapat dilakukan. Kemungkinan juga pasangan ini sukar untuk memperolehi zuriat. Hal ini boleh membawa kepada perceraian kerana ia merupakan penyakit yang sukar diubati.

6. Tidak berakhlak.
Berakhlak merupakan salah satu elemen penting dalam perhubungan. Selain itu, berakhlak juga dituntut dalam Islam sebagaimana akhlak Rasulullah SAW[13]. Pasangan yang sentiasa menjaga akhlak dan perlakuannya dapat menjamin keharmonian keluarganya. Sebagai contoh, saling bertolak-ansur, memahami, menjaga perasaan dan sentiasa mengelakkan pergaduhan. Hal ini berbeza dengan pasangan yang tidak berakhlak dan terlalu bersosial. Kebanyakan pasangan tersebut akan saling menyakiti hati pasangannya sehingga menyebabkan perbalahan dan bermasam-muka. Jika keadaan tersebut berlarutan, maka perbalahan yang lebih serius akan berlaku. Maka, keadaan tersebut boleh menyebabkan perceraian.

7. Masalah ekonomi.
Masalah ini merujuk kepada status kewangan pasangan suami isteri. Kewangan merupakan salah satu perkara yang penting untuk memenuhi keperluan hidup. Tanpa kewangan yang cukup dan stabil, maka keperluan seseorang juga tidak dapat dipenuhi dengan sempurna. Oleh itu, faktor ekonomi dan kewangan adalah penting dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Perceraian yang berlaku disebabkan oleh masalah ekonomi lazimnya cenderung kepada status ekonomi suami atau bapa. Hal ini kerana suami merupakan ketua keluarga dan perlu menyara keluarga.  Jika status ekonomi tidak stabil atau bermasalah, maka kehidupan keluarganya juga akan menghadapi masalah. Sekiranya masalah ekonomi ini berpanjangan dan semakin serius, kehidupan rumahtangga menjadi tidak terurus. Masalah ini memberi tekanan kepada pihak isteri dan keluarga yang lain sehingga mengambil keputusan untuk bercerai.

Walaupun begitu, perceraian tidak hanya disebabkan perkara negatif. Perceraian juga merupakan salah satu penyelesaian masalah bagi sesebuah institusi keluarga. Terdapat sesetengah pasangan yang tidak mengecapi kebahagian semasa tempoh perkahwinannya walaupun setelah berbagai usaha dilakukan, maka perceraian merupakan langkah terbaik untuk perbetulkan keadaan. Namun begitu, perceraian perlu dilakukan secara baik. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati edahnya, maka rujukilah mereka dengan cara yang makruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang makruf (pula)” (al-Baqarah, 2:321). Tambahan lagi, perceraian juga bertujuan untuk mengurangkan penderitaan akibat perbalahan berterusan antara pasangan (Siti Rohani Suriani, 2014).


Kesan psikologikal terhadap pasangan yang bercerai
Berdasarkan isu tersebut, perceraian juga memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada sesebuah institusi keluarga. Menurut Fariz Sakina Abdullah (2013), perceraian antara pasangan akan menyebabkan kesan besar kepada pasangan tersebut dan seterusnya mempengaruhi anak-anak. Lazimnya, kesan tersebut cederung kepada kesan negatif iaitu kesan psikologikal terhadap corak dan gaya keibubapaan keluarga. Secara umunya, pasangan yang bercerai akan mengalami gangguan emosi seperti bersedih, memendam perasaan dan bermurung. Hal ini disebabkan perpisahan yang berlaku antara pasangannya. Individu yang bercerai akan bertukar status menjadi ibu atau bapa tunggal, maka beban tanggungan akan bertambah dan urusan keluarga terpaksa dilakukan sendirian. Bebanan ini menyebabkan individu tersebut hilang keyakinan dan mudah berputus asa. Seterusnya, individu tersebut akan kehilangan fokus dan perhatian terhadap keadaan sekeliling termasuk pekerjaan, anak-anak dan tanggungjawab yang lain. Prestasi kerja juga akan terjejas sehingga boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Kehilangan ini mengakibatkan timbulnya masalah lain seperti masalah kewangan. Gangguan dan tekanan ini memberi kesan yang lebih buruk terhadap perwatakan dan kelakuan individu yang bercerai ini. Antarannya adalah menjadi seorang yang pemarah dan beremosi. Kesan daripada itu, kebiasaanya anak-anak akan menjadi mangsa untuk melepaskan tekanan yang dihadapi seperti memukul dan memarahi anak-anak secara melampau apabila anak-anak melakukan kesilapan. Selain itu, segala keperluan dan perhatian terhadap anak-anak terabai. Hal ini membawa kepada kes penderaan dan memberi kesan psikologikal yang buruk kepada anak-anak.


Kesan psikologikal terhadap anak-anak
Rentetan itu, kesan psikologikal yang buruk terhadap anak-anak akibat perceraian ibubapa akan membentuk pembangunan insaniahnya. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibubapa akan kehilangan kasih sayang daripada kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya. Sesetengah keluarga, anak-anak terpaksa berpisah dengan adik-beradik yang lain kerana mengikut ibu atau bapanya. Hal ini akan menyebabkan anak-anak menjadi lebih kesunyian dan murung. Hukuman melampau yang diterima daripada ibu atau bapa apabila anak-anak melakukan kesalahan menyebabkan anak-anak berasa tidak selamat dan rasa tidak disayangi. Hal ini menyebabkan tekanan emosi yang buruk dan seterusnya membentuk pembangunan insaniah yang negatif sama ada terhadap peribadi dan sikap anak-anak tersebut.

Kesan perceraian terhadap pembentukan insaniah anak-anak
Perceraian memberi kesan negatif terhadap pasangan suami isteri tersebut dan mempengaruhi pembentukan insaniah anak-anak. Terdapat lima kesan negatif terhadap pembentukan insaniah anak-anak akibat daripada perceraian ibubapa. 

1. Bersifat pemurung dan merendah diri.
Sesetengah perceraian suami isteri berlaku disebabkan masalah kewangan kerana ketidakmampuan pasangan tersebut menanggung dan menyara hidup keluarga dan anak-anak. Hal ini akan menyebabkan pasangan tersebut sering bertengkar dan saling menyalahi antara mereka. Anak-anak yang telah dewasa akan tersepit dengan keadaan tersebut dan merasakan bahawa mereka juga merupakan punca pertengkaran tersebut. Pertengkaran yang membawa perceraian akan menyebabkan anak-anak merasa bersalah dan bermurung. Kesan daripada perasaan tersebut akan membawa kesan negatif terhadap pembentukan insaniah anak-anak. Perwatakan anak-anak akan berubah menjadi kurang berkeyakinan, rendah diri dan anti-sosial. Selain itu, anak-anak juga akan menjadi seorang yang memendam perasaan dan lebih cenderung untuk tidak berkongsi dengan orang lain. Kesan-kesan negatif ini akan menjejaskan masa depan anak-anak tersebut untuk berhadapan dengan masyarakat pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pembentukan insaniah yang pemurung dan rendah diri akan mengakibatkan masalah lain seperti kesukaran berkomunikasi dan berinteraksi orang lain, mudah ditindas atau dibuli dan menjadi seorang yang beremosi.

2. Memupuk sikap pemarah dan pembuli.
 Lazimnya, anak-anak yang kerap dihukum dan dimarahi akan menjadi seorang yang pendendam dan pemarah. Setiap kali menerima hukuman seperti dirotan dan dimarahi, anak-anak akan berdiam diri dan memendam perasaan. Hal ini kerana rasa hormat dan rasa takut yang melampau kepada ibu atau bapa mereka yang sedang bermasalah. Kesannya, anak-anak ini mengalami tekanan emosi yang teruk dan membawa kesan negatif terhadap pembentukan insaniahnya. Oleh yang demikian, sesetengah anak-anak meluahkan perasaannya melalui perbuatan dan sikap panas baran atau pemarah kepada orang lain. Antara contohnya adalah menjadi seorang yang suka membuli rakan-rakan sebaya di sekolah. Anak-anak ini membuli rakan sebaya yang lemah dan mudah ditindas. Selain itu, tekanan ini juga boleh mewujudkan gejala vandalisme kepada kemudahan awam seperti menconteng papan tanda, dinding bangunan dan merosakkan tong sampah awam.

3. Hilang tumpuan dan perhatian dalam pelajaran.
Perceraian menyebabkan ibu atau bapa menjadi seorang yang sensitif, beremosi dan pemarah. Tambahan lagi, tanggungjawab yang bertambah sebagai ibu bapa tunggal semakin memberi tekanan kepada mereka. Hal ini menjejaskan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak. Sebagai anak-anak yang sedang meningkat dewasa, ibubapa sepatutnya memberikan sokongan dan perhatian. Namun, tekanan daripada perceraian menyebabkan ibubapa lebih cenderung memberi kata perintah, kata-kata kesat dan kasar serta hukuman yang melampau.  Hal ini bukan hanya menjadi memberi tekanan kepada ibu bapa tersebut, malah anak-anak turut menjadi tertekan dengan keadaan yang berlaku. Suasana rumah menjadi tidak kondusif, ibu atau bapa pula sentiasa memberi tekanan dan memarahi tanpa alasan yang kukuh menyebabkan anak-anak tidak dapat menumpukan pelajaran. Tambahan lagi, anak-anak menjadi malas dan hilang semangat untuk belajar. Seterusnya, anak-anak akan ketinggalan dalam pelajaran dan prestasi pelajarannya merosot,

4. Kurang didikan dan pegangan agama.
Perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak kekurangan kasih sayang dan perhatian. Peranan sebagai ibubapa tunggal menyebabkan ibubapa tersebut lebih mementingkan aspek kewangan dan material. Hal ini kerana untuk menjamin keperluan keluarga yang perlu ditanggung dan dipenuhi. Namun begitu, tanggungjawab kepada anak-anak terabai termasuk dari aspek kasih sayang dan pendidikan. Kesannya, anak-anak akan kekurangan didikan terutamanya didikan agama. Apabila tiada didikan dan pengetahuan agama, maka anak-anak cenderung melakukan perkara yang sia-sia. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan kekurangan kasih sayang dan rasa dipinggirkan. Seterusnya, menyebabkan jiwa anak-anak kurang didasari dengan agama. Anak-anak ini akan mencari altenatif lain untuk meluahkan kekecewaannya seperti lari dari rumah, terjebak dengan gejala sosial dan pengambilan pil khayal atau dadah untuk melupakan masalah. Kesan ini menunjukkan bahawa pembentukan insaniah anak-anak adalah negatif akibat daripada perceraian ibu bapanya. 

5. Mudah terpengaruh dengan perkara yang sia-sia.
Rentetan daripada kurang pegangan agama, maka anak-anak akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti merokok, ponteng sekolah dan merempit. Hal ini juga berpunca daripada pengaruh rakan sebaya yang tidak bermoral dan perasaan ingin mencuba perkara baru. Ibu atau bapa tunggal sentiasa sibuk untuk mencari nafkah untuk menyara keluarga, maka ibu atau bapa tersebut tiada masa untuk memantau aktiviti harian anak-anak termasuk pemilihan rakan sebayanya. Sesetengah anak-anak terlibat dengan perkara yang tidak bermoral ini adalah untuk mendapatkan perhatian daripada ibubapa semata-mata. Selain itu, kekurangan kasih sayang daripada ibubapa juga menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang diluar rumah seperti mencari teman lelaki dan bersosial dengan rakan-rakan sebaya. Akibat aktiviti bersosial dan pergaulan bebas ini mengundang kepada masalah hubungan seks rambang dan anak luar nikah. Oleh yang demikian, masalah perceraian ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh kerana tiada pemantauan dan didikan yang cukup daripada ibu bapa. 

Walaupun begitu, perceraian juga memberi kesan positif kepada sesetengah anak-anak. sebagai contoh, perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak menjadi lebih berdikari. Anak-anak yang berfikiran positif akan membina jati diri supaya lebih berdikari dan tidak membebankan ibu atau bapanya yang sedang bermasalah. Selain itu, anak-anak yang tinggal bersama ibu (ibu tunggal disebabkan perceraian) akan berusaha untuk berjaya dan mengubah kehidupan keluarganya menjadi lebih baik. Oleh yang demikian, anak-anak yang menjadi mangsa perceraian juga mampu menjadi anak-anak yang berjaya dan berdikari.    

Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa perceraian berpunca daripada pelbagai faktor dan ia membawa kepada kesan sama ada negatif atau positif. Lazimnya, anak-anak yang menjadi mangsa perceraian menyebabkan pembentukan insaniahnya bersifat negetif. Walaupun begitu, perceraian juga tidak hanya berpunca daripada perkara negatif, tetapi terjadi kerana untuk mengelakkan pasangannya terus menderita diatas perkahwinan tersebut. Namun, perceraian bukanlah salah penyelesaian masalah yang terbaik. Sebagaimana Hadith riwayat daripada Ibnu Umar daripada Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak” (Riwayat Abu Daud dan Hakim). Oleh yang demikian, pasangan suami isteri perlu berusaha mengelakkan perceraian. Pelbagai langkah untuk mengatasi perceraian boleh dilakukan seperti mendalami ilmu agama dan pengetahuan mengenai perkahwinan, mengubah sikap menjadi lebih baik, menghadapi setiap cabaran dan masalah dengan tenang serta memperbaiki komunikasi antara pasangan. Hal ini dapat mengelakkan perceraian berlaku supaya anak-anak tidak menjadi mangsa perceraian. Ibu bapa perlu berusaha membina sebuah keluarga yang sakinah supaya dapat membimbing anak-anak yang baik dan seterusnya dapat membentuk insaniah yang cemerlang.




Bibliografi
Fatin Hafizah Mohd Shahar (2014, Februari 25). Krisis Hadanah Selepas Cerai. Berita Harian, pp.1.

Fariz Sakina Abdullah (2013). Perceraian dan Perpisahan. Kementerian Kesihatan Malaysia. Diakses daripada http://www.myhealth.gov.my/index.php/perceraian-dan-perpisahan pada 14 November 2014.

Fride Hikmet Atak (2014, November 12). Ditegur Suami Penyebab Perceraian Raja Azmi. Mstar Online. Diakses daripada http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/11/12/punca-cerai-raja-azmi/ pada 17 November 2014.

Hemananthani Sivanandam, Ng Si Hooi & A. Raman (2014, April 16). Women Being Divorced Over Frivolous Reasons. Star.

Kosmo Online (2012, Februari 8). Rita Enggan Hipokrit. Diakses daripada http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0208&pub=kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm pada 14 November 2014.

Marzulina Omar (2003, November). Perkara Halal Yang Paling Dibenci Allah. Majalah Sinar Rohani.

Mohd Al Qayum Azizi (2014, Februari 18). Erra Fazira Dan Engku Emran Cerai, Suami Dapat Hak Penjagaan Anak. Mstar Online. Diakses daripada http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/02/18/erra-fazira--engku-emran-cerai-suami-dapat-hak-penjagaan-anak/ pada 14 November 2014.

Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014, April 15). Tujuh Perkara Dorong Cerai. Harian Metro, pp.9.

Nurhidayah Hashim (2014, Jun 26). Pasangan Bercerai Patut Utama Kebajikan Anak. Berita Harian, pp.38.

Nooraziah Mohd (2014, Februari 26). Jenayah Aniaya Isteri. Utusan Malaysia, pp.11.

Norsaleha Mohd Saleh (2013). Keluarga Di Syurga:Perceraian Perkara Halal Dibenci Allah. Majalah Iman, hlm.48-49. Bil.31.

Siti Rohani Suriani (2014, Ogos 28). Usah Pandang Serong Perceraian. Berita Harian.

t.n. (2014, Jun 4). Pihak Ketiga Rosak Perkahwinan Boleh Didakwa. Berita Harian. 

t.n. (t.t). Perceraian, Nafkah dan Harta. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993). Diakses daripada http://www.wccpenang.org/files/docs/syariah-divorce-bm.pdf pada 14 November 2014.

Utusan Online (2011, Mac 3). Rekod JAKIM: Setiap 15 Minit Satu Pasangan Bercerai. Diakses daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0304&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm pada 13 November 2014.

Wan Kemat (2014, Mac 25). 25,000 Pasangan Bercerai Setiap Tahun: YADIM. Berita Harian.

Yusman Awang (2012, November 8). Chef Riz Mengaku Sudah Bercerai. Kosmo.



[1]Sumber dipetik daripada Kosmo Online Edisi 8 Februari 2012.

[2]Sumber dipetik daripada Kosmo Online Edisi 8 November 2012.

[3]Sumber dipetik daripada Mstar Online Edisi 18 Februari 2014.

[4] Sumber dipetik daripada Mstar Online Edisi 12 November 2014.

[5] Sumber dipetik daripada Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014). Harian Metro Edisi 15 April 2014.

[6] Fasakh boleh dipohon jika suami melakukan kesalahan tertentu (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).

[7] Taklik adalah perjanjian perkahwinan yang dilafazkan oleh suami semasa akad nikah. Jika suami melanggar taklik, maka hal ini boleh dilaporkan kepada mahkamah. Sekiranya mahkamah mendapati suami mengingkari taklik menyebabkan perkahwinan boleh dibubarkan dengan satu talaq (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).

[8] Isteri boleh menawarkan pampasan kepada suami sebagai balasan melafazkan talaq. Jumlah pampasan tertakluk kepada persetujuan isteri dan suami dengan diadili oleh mahkamah (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985 (Pindaan Tahun 1993)).

[9]Sumber dipetik daripada Berita Harian Edisi 25 Mac 2014.

[10] Sumber dipetik daripada Metro Ahad Edisi 12 Januari 2014. Hlm 18.

[11] Sumber dipetik daripada Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Amir Abd Hamid & Mohd Husni Mohd Noor (2014). Harian Metro Edisi 15 April 2014.

[12] Sumber dipetik daripada Berita Harian Edisi 4 Jun 2014. Hlm.10. 

[13] Akhlak Rasulullah SAW yang disebutkan dalam al-Qur’an. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang)”  (al-Ahzab, 33:21).

No comments:

Post a Comment